Farah selesa bersama Orang Asli - Utusan Malaysia

Farah selesa bersama Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAUH di pelusuk belantara, terdapat komuniti yang kurang mendapat pendedahan dunia luar. Apakah komuniti itu? Tidak lain dan tidak bukan ialah Orang Asli.

Di Semenanjung, komuniti Orang Asli boleh dibahagikan kepada tiga iaitu Semang, Senoi dan Melayu Proto. Jika dikaji secara menyeluruh, kehidupan Orang Asli sebenarnya begitu unik.

Keberadaan kakitangan Islamic Relief Malaysia (IRM), Farah Amirah Sarifuddin di perkampungan Orang Asli di Buluh Nipis, Pahang memberikan pengalaman berharga buatnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sama seperti masyarakat umum di Malaysia, Orang Asli juga mempunyai institusi keluarga dan kehidupan tersendiri. Mereka juga diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan seperti kanak-kanak lain ke sekolah.

Seperti di kampung-kampung, komuniti Orang Asli turut mempunyai ketua yang perlu ditaati dipanggil Tok Batin. Selain itu, mereka juga bekerja, beragama, mempunyai persatuan, dan bersukan. Apa yang membezakan hanyalah kediaman mereka yang jauh di pedalaman dan kurang diketahui orang ramai.

Kampung Buluh Nipis terletak di Muadzam Shah, sekitar 26 kilometer dari kawasan bandar. Menurut Farah, beliau berada di perkampungan Orang Asli itu bagi menjalankan projek Pembangunan Komuniti IRM yang menekankan beberapa tumpuan sektor utama seperti pendidikan, infrastruktur, kesihatan dan kehidupan mapan.

Sungguhpun demikian, keberadaan Farah di kampung itu bukan semata-mata atas tuntutan kerja, malah banyak perkara yang dilalui untuk memperhalusi ragam Orang Asli.

“Saya mengambil keputusan untuk menetap di kampung itu pada fasa awal. Alhamdulillah, mereka begitu mesra dan selesa dengan saya.

“Sebenarnya beberapa minggu berada di sana tidak cukup untuk membina hubungan baik dengan komuniti Orang Asli, malah di mana-mana tempat sekali pun.

“Namun apa yang saya dapati, apabila dekati komuniti ini, mereka sama sahaja seperti kita dan melayan kita dengan baik, malah sangat mengalu-alukan kehadiran kita,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Disoal mengenai keunikan Orang Asli, Farah berpendapat, tahap survival mereka begitu tinggi di samping mempunyai daya kreativiti yang hebat.

“Mereka bijak mencipta, membina, dan mengaplikasikan apa sahaja yang ada di sekitar untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Paling jelas yang pernah saya lihat ketika berada di kampung mereka adalah keunikan seni bina rumah. Ia berdindingkan buluh dan beratapkan nipah. Selain itu, saya juga pernah melihat murid mencipta replika permainan bom menggunakan lidi dan kertas,” katanya.

Meskipun Orang Asli tidak berkemampuan untuk membeli barangan termasuk makanan seharian, namun faktor kekangan itulah yang meningkatkan tahap survival mereka jauh lebih hebat daripada kelompok manusia yang menetap di kawasan bandar.

Selain itu, jauh daripada kemajuan juga memperkasakan daya imaginasi dan kreativiti mereka pada tahap luar daripada kemampuan penduduk di bandar.

Beliau berkata, antara pengalaman terindah bersama Orang Asli adalah penghargaan yang diterima oleh komuniti itu sendiri.

“Saya cukup terharu apabila anak-anak dan ibu di kampung itu mengingati saya. Di mana saja pergi, mereka pasti akan jerit dan memanggil nama saya. Cara mereka menghargai dengan menunggu kehadiran saya ke kampung, merupakan kepuasan untuk bersama mereka,” ujarnya.

Bagi Farah, banyak pengajaran boleh dipelajari daripada komuniti Orang Asli kerana secara tidak langsung memberi gambaran jelas bahawa cabaran hidup yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli perlu dijadikan contoh untuk terus bersyukur dengan nikmat yang diperoleh hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×