KUALA LUMPUR 13 Feb. – Bekas wakil rakyat UMNO yang diterima masuk ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam disifatkan sebagai ‘sampah’.
Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu berkata, tindakan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima ‘katak-katak’ UMNO berkenaan sungguh mengecewakan kerana beliau sebelum ini pernah berjanji tidak akan menerima golongan seperti ini.
Beliau mempersoalkan sama ada rakyat kini bakal menyaksikan pengambilalihan Bersatu oleh bekas-bekas ahli UMNO?
“Saya tahu (tidak akan terima ahli UMNO) kerana saya berada di sana. Saya mendengarnya dengan telinga saya sendiri. Dan saya percaya kepadanya.
“Apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir begitu mengecewakan, menerima sampah seperti ini. Jadi apa yang berlaku jika lebih banyak katak daripada UMNO meninggalkan kapal dan meminta untuk menyertai Bersatu,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Semalam, enam bekas wakil rakyat UMNO menyertai Bersatu kerana yakin dengan perjuangan yang dibawa Dr. Mahathir.
Mereka adalah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz. – UTUSAN ONLINE










