KUALA LUMPUR 13 Feb. – Kerajaan komited bagi memperkasa Mahkamah Syariah secara menyeluruh termasuk melaksanakan enam pembaharuan yang diyakini mampu meningkatkan taraf institusi berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menjelaskan enam pembaharuan yang sedang dilaksanakan kerajaan termasuklah melakukan transformasi sistem E-Syariah kepada versi tiga bagi menambah baik pengurusan pendaftaran kes dan meningkatkan lagi kecekapan penyampaian.
Menurut Mujahid, pembangunan kompleks Mahkamah Syariah baharu juga sedang dibina di Pahang dan Sabah sama seperti di Kedah, Perlis, Kuala Lumpur, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang yang telah pun siap dibina sebelum ini.
“Selain itu, kerajaan juga mahu meningkatkan tahap kecekapan penyelesaian kes dan mengelakkan berlaku kes tertunggak menerusi empat program inovasi termasuk projek proses Kerja Kes Cerai Fast Track yang dilaksanakan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.
“Program latihan dan peluang melanjutkan pengajian juga akan ditingkatkan bagi melahirkan pegawai syariah yang berkompetensi tinggi , mempunyai pelbagai kemahiran dan mampu meningkatkan sistem penyampaian kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mujahid, kerajaan juga akan menetapkan penanda aras bagi penyelesaian kes-kes rayuan Syariah dalam tempoh enam bulan daripada mula kes didaftarkan di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kepada negeri yang menggunakan khidmat panel hakim rayuan syariah dariapda JKSM.
Mujahid berkata, pegawai syariah yang berkemahiran tinggi dan mempunyai kompetensi terbaik juga akan mula diambil untuk JKSM dan Mahkamah Syariah.
“Selain daripada enam pembaharuan itu, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan turut memberikan penekanan kepada kajian dan semakan semula undang-undang sedia ada bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan serta manfaat.
“Dalam hal ini, kerajaan juga akan mengambil kira keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi menangani kelompongan dalam perundangan semasa,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE










