JOHANNESBURG 21 Feb. – Dua suspek perompak terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis semasa sesi rehat di sebuah sekolah tinggi dekat sini, ketika pelajar bersedia untuk memasuki peperiksaan.
Geng perompak itu memecah masuk sekolah tersebut, menakut-nakutkan kakitangan pejabat dan meminta wang perlindungan sebelum melarikan 8,000 rands (RM2,326).
“Apabila polis tiba di sekolah tersebut, suspek sedang dalam perjalanan keluar dan berlaku berbalas tembakan.
“Dua suspek ditembak dan terbunuh,” jelas jurucakap polis, Kay Makhubela.
Menteri Pendidikan Wilayah Gauteng, Panyaza Lesufi berkata, susulan kejadian itu, semua pelajar diarahkan pulang dan kelas serta peperiksaan ditangguhkan sehingga Isnin ini.
Tiada guru atau pelajar yang cedera dalam kejadian itu. – AFP











