Dollah ‘selamat’ – MFL - Utusan Malaysia

Dollah ‘selamat’ – MFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak akan membawa isu Dollah Salleh kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran ketua jurulatih Pahang itu didakwa mengeluarkan perkataan kesat selepas tamat aksi menentang Melaka di Stadium Hang Jebat, Jumaat lepas.

Bagaimanapun, Dollah akan diberikan peringatan agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan sedemikian berdasarkan reputasinya sebagai tokoh bola sepak tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaskan, Dollah mengeluarkan kenyataan itu secara tidak sengaja dan tidak menyedari perbuatannya telah dirakam sejurus tamat perlawanan yang menyaksikan skuad Tok Gajah seri 1-1 bertemu Me­laka United.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kevin menyifatkan kekecewaan Dollah itu disebabkan Melaka United berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Safiq Rahim pada peng­hujung perlawanan.

“Dollah mungkin kecewa kerana keputusan tidak seperti yang diharap­kan dan insiden sepakan penalti itu berlaku sebelum perlawanan berakhir. 

“Sekiranya kejadian itu berlaku lebih awal dalam permainan mungkin beliau kurang beremosi. 

“Kita perlu bersikap adil kepadanya di mana beliau tidak bercakap dalam sidang media rasmi tetapi tidak bernasib baik kerana percakapannya dirakam ketika kamera sedang me­rakam suasana selepas tamat perlawanan. 

“Kami tidak akan meneruskan (menyerahkan laporan rasmi berhubung isu Dollah) kepada FAM untuk tindakan tatatertib,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini