JAKARTA 19 Feb. – Calon Presiden (capres) nombor satu, Joko Widodo atau Jokowi mempertahankan data mengenai jagung import yang diberikan semasa debat pilihan raya umum (Pilpres) 2019 adalah fakta dan bukannya rekaan.
Okezone.com yang memetik Jokowi sebagai berkata, data itu dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian, Kementerian Perdagangan dan Agensi Perangkaan Pusat (BPS).
“Saya menyampaikan data daripada kementerian, bukan rekaan sendiri,” katanya di daerah Pandeglang, Banten, semalam.
Katanya, kedua-dua kementerian tersebut merekodkan jumlah import jagung Indonesia adalah 180,000 tan.
Beliau mengulas mengenai laporan media mendakwa maklumat diberikan Presiden semasa debat itu tidak tepat.
Dalam perkembangan berasingan, penduduk Kampung Tambak Lorok dekat Semarang terkejut dengan lawatan Jokowi ke kawasan itu, semalam hingga ada yang menyangka Presiden sebagai pekerja binaan.
Pengerusi Kampung Tanjung Mas, Ahmad Sueb berkata, dia pada awalnya menyangka lelaki yang berjalan sendirian itu pekerja binaan sebelum menyedari itu adalah Jokowi.
Katanya, Jokowi berjalan sendirian malah pemandunya hanya menunggu di dalam kereta semasa lawatan mengejut kira-kira pukul 11 malam berkenaan.
Menurut Sueb, Jokowi berbual dengan kira-kira 20 orang nelayan di kedai kopi di dermaga berkenaan.
Tambahnya, Jokowi berbual mengenai keadaan kampung, ekonomi dan proses pembinaan kampung yang telah bermula sejak 2015. – AGENSI











