Dana tambahan untuk projek SJKT selepas pelan pembangunan diluluskan - Utusan Malaysia

Dana tambahan untuk projek SJKT selepas pelan pembangunan diluluskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN 22 Feb. – Kementerian Pendidikan akan memperuntukkan dana tambahan untuk projek bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Subramaniya Barathee di Gelugor dekat sini hanya selepas pelan bangunan projek itu mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching hari ini berkata projek pembinaan bangunan tambahan sekolah itu telah dimulakan sejak April tahun lepas dengan bantuan dana daripada Yayasan Rakyat 1Malaysia, Kementerian Pendidikan dan kutipan daripada Lembaga Pengelola Sekolah.

Bagaimanapun, beliau berkata kemajuan projek itu gagal mencapai tahap yang memuaskan dan tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual setelah pihak kontraktor projek tidak mendapat kelulusan pelan bangunan daripada PBT.

“Saya telah berbincang dengan pihak sekolah, wakil kontraktor dan wakil rakyat tempatan bagi mempercepatkan proses permohonan pelan bangunan itu supaya projek itu dapat dijalankan dan semua pelajar mendapat manfaat,” katanya.kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah itu.

Pihak kementerian hanya akan meluluskan dana tambahan kepada pihak sekolah itu selepas tahap kemajuan projek pembinaan bangunan tambahan mencapai tahap yang memberangsangkan.

Teo berkata pihak kementerian telah memperuntukkan RM350,000 kepada sekolah itu pada tahun lepas sebagai pemulaan untuk projek berkenaan yang akan dibina di atas tanah seluas 0.4 hektar bersebelahan dengan bangunan lama.

“Berikutan peningkatan jumlah murid, perancangan untuk membina sebuah bangunan baharu empat tingkat itu telah diluluskan namun akibat masalah teknikal daripada pihak kontraktor, projek itu gagal disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Keseluruhan kos projek adalah RM1.5 juta termasuk untuk pembelian perabot dan kelengkapan sekolah yang dirancang untuk disiapkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh mula kerja.

Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, N.S.Gunasekaran berkata jumlah murid yang berdaftar dengan sekolah ini semakin bertambah setiap tahun dan projek bangunan baharu ini bersesuaian untuk menampung peningkatan jumlah murid.

Sekolah itu kini mempunyai 10 buah kelas termasuk satu kelas pra-sekolah dan terdapat 272 murid yang berdaftar.

“Dalam tempoh lima tahun yang akan datang, saya menjangkakan jumlah murid yang berdaftar di sekolah ini akan mencecah lebih 400 orang dan pembinaan bangunan baharu sekolah ini amat diperlukan,” katanya.

Katanya, sehingga hari ini, pihak sekolah masih kekurangan hampir RM800,000 untuk menampung kos pembinaan bangunan baharu ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN