Dakwaan salah laku hakim: Bekas mahasiswa buat laporan - Utusan Malaysia

Dakwaan salah laku hakim: Bekas mahasiswa buat laporan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Satu laporan polis telah dibuat oleh dua bekas mahasiswa Universiti Awam (UA), hari ini berhubung pendedahan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer mengenai dakwaan campur tangan terbuka badan itu termasuk membabitkan salah laku hakim mahkamah rayuan dan persekutuan.

Laporan polis tersebut dibuat oleh bekas penuntut Univerisiti Teknologi Mara (UiTM), Rafzan Ramli dan bekas pelajar Universiti Malaya Khairul Amal Mahmud di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Peguam mereka Joshua Tay berkata, kes anak guamnnya itu telah dibawa ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari 2011 menolak rayuan mereka untuk mengetepikan hukuman yang dijatuhi oleh Mahkamah Majistret sebelum itu.

Ujarnya, Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya pada 4 September 2013, melalui majoriti 2-1 menolak rayuan dibuat semua tertuduh dengan hukuman ke atas mereka dikekalkan.

“Kes anak guam saya antara salah satu yang dipetik dalam afidavit setebal 63 mukasurat yang didedahkan Hamid Sultan.

“Justeru, ia mengundang isu sama ada keputusan yang dibuat hakim Mahkamah Rayuan pada 2013 itu ada unsur campur tangan luar. Jadi kita mengesa pihak berkuasa menyiasat perkara ini,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Rafzan dan Khairul Amal merupaka lima individu yang dikenakan hukuman denda RM3,900 dan tiga bulan penjara selepas didapati bersalah kerana menyertai perhimpunan anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 8 Jun 2001.

Tiga yang lain adalah Nik Norhafizi Nik Ibrahim, Ahmad Kamal Abdul Hamid, 30, masing-masing dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Zulkefle Idris dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN