SAUDARA PENGARANG,
SAYA mewakili Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas segala usaha Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam pengurusan demi kebaikan dan ketenteraman kawasan Ampang Jaya.
Merujuk kepada pewartaan dan penguatkuasaan Jalan 1, 2, 35 dan 37 Jalan Nirwana, Ampang sebagai tempat letak kereta berbayar bermula Mac ini, pada hemat kami, ia menimbulkan keresahan kerana kebanyakan pengguna kawasan tersebut adalah penduduk tetap. Memandangkan kawasan ini adalah penempatan dan perumahan yang tidak mempunyai kawasan letak kenderaan mencukupi, maka ia dilihat satu ketidakadilan dengan mengambil kesempatan dalam kesusahan orang ramai.
Dalam situasi kesenjangan ekonomi, ia adalah beban kepada rakyat selagi tempoh menduduki kawasan ini. Tindakan pewartaan dan penguatkuasaan ini juga dilihat tidak sejajar dengan hasrat kerajaan Malaysia Baharu yang dikatakan cuba untuk memberikan keselesaan dan ruang kepada rakyat bernafas di tengah-tengah kemelut ekonomi. Sekali gus boleh dikatakan sabotaj kepada kerajaan yang bakal mengundang kemarahan dan kebencian rakyat.
Sehubungan itu, semua pihak diseru berfikir mencari alternatif serta jalan keluar untuk tidak membebani rakyat.
Penasihat Agama dan Media PPIM










