ISKANDAR PUTERI 14 Feb. – Cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori untuk dibawa ke persidangan Parlimen akan diputuskan jemaah Menteri sebelum Parlimen bersidang bulan depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, setakat ini, jemaah menteri bercadang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi semua akta berkenaan pada 10 Oktober tahun lalu.
“Pihak saya telah berjumpa semua pihak berkaitan seperti ahli keluarga mangsa dibunuh, ahli keluarga banduan akhir serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
“Kita kena memahami perasaan ahli keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang, semua ini perlu diambil kira. Kini kita tunggu keputusan pihak jemaah menteri untuk memberi keputusan muktamad sebelum persidangan Parlimen pada Mac ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak kawasan pembinaan kompleks mahkamah baharu di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










