KUALA LUMPUR 28 Feb. – Kerajaan bercadang untuk memansuhkan pengambilan pekerja ekspatriat di bawah pakej gaji kategori ketiga (pendapatan di bawah RM5,000) untuk bekerja di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran bagaimanapun berkata, perkara itu perlu dibincangkan dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan muktamad.
Beliau malah berkata, golongan pekerja ekspatriat di bawah pakej gaji kategori kedua (pendapatan antara RM5,000 hingga RM9,999) juga mungkin akan diambil langkah yang sama.
Menurut Kula, langkah itu bagi memastikan lebih ramai rakyat tempatan mengisi kekosongan pekerjaan di bawah kategori tersebut pada masa akan datang.
“Statistik 2018 menunjukkan sebanyak 117,000 ekspatriat menguasai beberapa sektor pekerjaan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,158 ekspatriat di bawah pakej gaji kategori ketiga yang memperoleh pendapatan di bawah RM5,000. Malah, bilangan ini juga mencatatkan penurunan.
“Justeru, kami berharap cadangan tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Pusat Perkhidmatan Bakat Ekspatriat Malaysia (MyXpats Centre) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman. – UTUSAN ONLINE.










