PETALING JAYA 22 Feb. – DISEBABKAN minat terhadap barangan antik dan vintage Lim Cheng Hoe, 59, sanggup berhabisan wang ringgit dan merantau ke seluruh negara.
Dia yang mula berjinak-jinak dengan hobi tersebut sejak 25 tahun lalu kini berjaya mengumpul kira-kira 1,000 koleksi barangan antik pelbagai jenama yang nilainya mencecah jutaan ringgit.
Menurutnya, wang ringgit bukan segala-galanya kerana kepuasan memiliki barangan itu menjadi keutamaan.
“Barang antik bukan dinilai pada wang ringgit tetapi koleksinya yang mencecah usia ratusan tahun.
“Koleksi ini tidak ternilai harganya kerana tiada persamaan antara satu sama lain. Setiap rekaan, corak dan lakarannya berbeza umpama satu dalam sejuta,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pasar Karat Amcorp Mall, di sini.
Cheng Hoe merupakan salah seorang daripada lebih 200 pencinta dan peniaga barangan antik di tapak yang mula bero-perasi sejak 1997 itu.
Pasar karat itu dikatakan menjadi antara paling lama beroperasi di Lembah Klang dengan menghimpunkan pelbagai barangan antik dan klasik yang sukar ditemui. Antara koleksi yang boleh ditemui termasuklah gramofon, mesin jahit, seterika tembaga, syiling lama dan perabot.
Bercerita lanjut, bekas kakitangan Maskargo ini berkata, pekerjaan itu memberi kelebihan kepadanya menjelajah banyak negara sambil mengumpul koleksi barang antik terutama di negara-negara Eropah.
Katanya, barang-barang itu kebanyakannya dibeli di flea market atau melalui lelongan dan dijual semula kepada pe-langgan dengan harga yang le-bih tinggi.
Menurut Cheng Hoe, di-sebabkan ‘kegilaannya’ mengumpul barangan tersebut sehingga jumlahnya terlampau banyak, dia terpaksa menyimpan barangan tersebut di tiga buah rumah miliknya.
“Jika dihitung lebih jutaan ringgit diperoleh hasil jualan koleksi barang antik milik saya sebelum ini.
“Walaupun banyak koleksi dijual, saya tetap merantau untuk mencari dan mengumpul barangan ini bagi memenuhi permintaan peminatnya,” katanya yang mengakui mesin jahit berusia 162 tahun antara koleksi paling bernilai miliknya dan dijual dengan harga RM3,000.
Sementara itu, minat sama dikongsi oleh Hashimah Yacob apabila dia turut menjual barangan antik di lokasi tersebut bersama suaminya, Nasir Ahmad.
Pasangan warga emas masing-masing berusia 67 tahun itu bagaimanapun hanya mengetengahkan barangan hiasan rumah berupa pinggan mangkuk koleksi Diraja British.
Hashimah berkata, barangan tersebut memiliki keistimewaan tersendiri kerana memiliki rekaan selain corak, gambar, warna dan bentuknya yang menarik dan ia dijual dengan harga berpatutan iaitu antara RM20 hingga RM150 seunit.
“Mengumpul dan menjual barangan antik merupakan hobi kami pada masa lapang.
“Kami tidak pernah menganggapnya satu hobi yang mahal dan satu pembaziran,” katanya menjalankan perniagaan di situ sejak 10 tahun lalu,” katanya











