SAUDARA PENGARANG,
PENCEMARAN plastik bukanlah satu isu baharu yang diperkatakan memandangkan ia memberi ancaman kepada pelbagai hidupan laut, alam sekitar dan manusia. Sebanyak 79 peratus plastik yang dihasilkan sejak 70 tahun dahulu dibuang. Hanya sembilan peratus plastik dikitar semula, manakala selebihnya dibakar. Lebih lapan juta tan plastik dibebaskan ke laut setiap tahun dan dianggarkan sehingga 2050, jumlah plastik akan melebihi jumlah ikan di lautan dan lebih 99 peratus burung laut di atas muka bumi ini akan makan sekurang-kurangnya sejumlah kecil plastik.
Sebahagian besar masyarakat terlalu bergantung kepada penggunaan plastik sekali gus menyebabkan pembuangan sisa plastik ini berada di luar kawalan. Peraturan-peraturan pengawalan seperti mengehadkan penggunaan plastik selain polisi-polisi baharu turut diperkenalkan bagi menggantikannya kepada bahan yang boleh terbiodegradasi atau dikitar semula. Kempen membeli-belah tanpa beg plastik secara berterusan sedikit sebanyak telah membudayakan sikap membawa beg sendiri dalam kalangan masyarakat.
Terkini, larangan penggunaan penyedut minuman plastik di sekitar Wilayah Persekutuan. Walaupun kempen ini masih belum dilaksanakan secara menyeluruh, namun terdapat segelintir pengguna dan premis menyokong penuh usaha tersebut dan menggantikannya penyedut minuman keluli tahan karat.
Namun, jika dilihat secara keseluruhannya, kesediaan masyarakat Malaysia dalam mengurangkan penggunaan plastik masih pada tahap kurang memuaskan. Kempen-kempen kesedaran sahaja tidak berupaya mengubah cara pemikiran segelintir masyarakat secara holistik. Justeru amalan mengurangkan penggunaan plastik seharusnya dimulakan dari rumah dan jika dijalankan secara berterusan, masyarakat akan sedar pentingnya memelihara alam sekitar.
AZYAN ZAFYRAH MOHD ZAHID
Pensyarah Jabatan Sumber Air dan Alam Sekitar UiTM











