Bot tempatan dikemudi warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Bot tempatan dikemudi warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 28 Feb. – Sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan pada jarak kira-kira 0.8 batu nautika dari Tenggara Teluk Tempoyak di sini kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran.

Bot nelayan yang membawa seorang tekong lelaki warga Myanmar bersama empat awak-awak lelaki Myanmar dan Thailand itu ditahan kapal peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira pukul  7.03 malam semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, kesemua yang ditahan berumur antara 24 hingga 47 tahun dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, kesemua mereka juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Bot berkenaan bersama dua pukat tunda gulung, ikan campur kira-kira 2,000 kg dan ikan baja seberat 2,000 kg ditahan dan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung di sini untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan komuniti maritim negeri ini bekerjasama dengan Maritim Malaysia negeri dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang di laut.

Katanya, orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini