SHAH ALAM – Sepasukan anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap di bahagian enjin sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kondominium Kristal Height, Seksyen 7, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan anak kucing dari enjin sebuah MPV jenis Perodua Alza.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Ahmad Subhaan Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.05 pagi sebelum sepasukan anggota dan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, pihak kita mendapati seekor anak kucing telah terperangkap pada bahagian enjin sebuah MPV.
“Anggota mengambil masa hampir 10 minit untuk mengeluarkan anak kucing berkenaan sebelum diserahkan kepada pemiliknya,”katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Ahmad Subhaan berkata, pemandu MPV terbabit menyedari kehadiran anak kucing di bahagian enjin kenderaannya itu ketika sedang memandu di kawasan tempat letak kereta kondominium berkenaan.
“Menurut pengadu (pemandu MPV) dia terdengar bunyi kucing pada enjin kenderaannya sebelum bertindak memberhentikan kenderaannya. Dia kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak bomba. – K! ONLINE










