KUALA KANGSAR 31 Jan. – Kemunculan dua ekor kuda yang berkeliaran di jalan raya di Kampung Talang di sini hari ini menggemparkan orang awam yang terkejut melihat kehadiran haiwan tersebut.
Pasangan kuda yang dinamakan Jason dan Tania itu bagaimanapun berjaya dijinakkan sebelum ditangkap pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd. Taufiq Abd. Sattar berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu pada pukul 7 pagi oleh orang awam yang bimbang selepas melihat kuda berkenaan.
Menurutnya, enam anggota yang dihantar ke lokasi berkenaan mendapati kedua-dua haiwan itu berkeliaran di atas jalan di Kampung Talang.
“Pihak bomba mengambil masa hampir sejam untuk menjinakkan kuda tersebut sebelum menangkap dan membawanya balik ke balai. Kedua-dua kuda itu dilihat dalam keadaan lemah dan kami telah memberikan haiwan itu makan,” katanya.
Mohd. Taufiq memberitahu, pemeriksaan turut dilakukan terhadap haiwan-haiwan itu dan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan.
Ujarnya, pemilik kuda itu telah hadir ke balai pada pukul 8.30 pagi setelah menerima maklumat daripada orang awam.
“Lelaki itu datang untuk mengambil haiwan peliharaannya dan mendakwa kuda-kuda tersebut terlepas dari kandang pada awal pagi,” katanya.











