SEMENYIH – Barisan Nasional (BN) akan terus memantau pihak Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bagi memastikan proses pengundian berjalan secara bersih.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BN akan menyediakan peguam bagi memantau setiap program yang dibuat oleh PH bermula pada penamaan calon sehingga hari pembuangan undi.
“Peguam kami akan berkhidmat bagi mendapatkan apa sahaja bukti kesalahan yang bakal dilakukan oleh pihak PH dan dalam masa sama kita pastikan jentera kita tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Kita boleh lihat bagaimana di PRK Cameron Highland, PH telah melakukan banyak kesalahan dari penamaan calon sehingga hari pembuangan undi apabila calon mereka sendiri memakai baju yang ada logo PH di pusat pembuangan undi,” jelasnya pada sidang akhbar khas BN dekat sini hari ini.
Tambahnya, parti PH akan mengunakan segala kemudahan dan kekuatan yang mereka ada bagi memastikan parti mereka menang pada PRK kali ini.
“Saya percaya mereka akan menggunakan semua aset yang ada sebab mereka sekarang sudah jadi kerajaan, mereka sudah tiada masalah.
“Kita boleh lihat sifat mereka sendiri yang suka langgar undang-undang (rule of low) bagi memastikan mereka menang melawan BN, mereka akan cuba dengan apa cara sekalipun,” jelasnya.
Pada PRK parlimen Cameron Highland bulan lalu, pelbagai kesalahan dan pelanggaran akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dilakukan oleh PH antaranya, menggunakan kenderaan kerajaan, memberi wang minyak dan memakai baju mempunyai logo PH. – K! ONLINE










