Bersatu tak bimbang kerjasama UMNO-Pas - Utusan Malaysia

Bersatu tak bimbang kerjasama UMNO-Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bimbang kerjasama UMNO dan Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seme­nyih Mac ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau kurang pasti sejauh mana kerjasama itu boleh menggugat Pakatan Harapan (PH), namun mereka tidak akan mengambil mudah strategi pembangkang tersebut yang menghasilkan kejayaan dalam PRK Cameron Highlands.

“Mereka sudah cuba di Ca­me­­ron Highlands, nampaknya mereka berjaya tapi situasi di Semenyih tidak sama. Apa pun kita tidak akan ambil sikap mudah, kalau benar mereka masih nak bergabung lagi, kita ambil satu strategi yang perlu untuk menanganinya.

“Saya tak fikir itu jadi isu besar bagi kita, kita dah tahu sikap dan cara mereka dan sebagai­nya. Walaupun mereka ambil tindakan begitu, tidak semua ahli Pas bersetuju, mereka tidak bersetuju kerjasama dengan UMNO, maknanya ada juga perpecahan.

“Apapun kita tengoklah nanti sama ada langkah yang sama akan mereka buat dalam PRK Semenyih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan de­ngan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bersatu Bahagian Hulu Langat dan ketua kampung serta penghulu di DUN Semenyih dekat sini hari ini.

Sementara itu, jelas Muhyiddin, Bersatu akan mengumumkan calon yang bakal mewakili PH dalam PRK Semenyih pada 14 Februari ini.

Katanya lagi, secara umumnya Bersatu dan PH sudah bersedia menghadapi PRK Se­­menyih dan calon yang akan dipilih itu nanti akan di­umumkan oleh beliau ataupun Pengerusi Bersatu, Tun. Dr. Mahathir Mohamad.

“Profilnya akan diberitahu selepas kita umumkan, siapa dia, latar belakang, kedudukan dalam parti, kelayakan dari segi akademik dan lain-lain yang dianggap sesuai untuk menjadi wakil masyarakat di DUN Semenyih.

“Kita akan ambil kira juga faktor anak tempatan kerana dalam banyak pertemuan dengan pemimpin dan masyarakat setempat, mereka mahukan orang tempatan, tapi mestilah berkelayakan, berkemampuan, baik budi bahasa juga akan diambil kira selain terlibat dalam parti politik kita,” katanya.

Tambah Muhyiddin, Bersatu juga tidak menghadapi isu besar yang boleh menjejaskan kempen parti itu menjelang hari pengundian PRK Semenyih pada 2 Mac depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN