KUALA LUMPUR 19 Feb. – Dalam meniti arus pemodenan dan pembangunan pesat negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah seluruh rakyat Malaysia mestilah bertanggungjawab memelihara khazanah alam sekitar.
Sebagai khalifah yang berperanan untuk memelihara persekitaran di bumi ini, Seri Paduka bertitah, tugas itu bukan hanya digalas oleh kerajaan semata-mata tetapi rakyat jelata mestilah turut sama membudayakan sikap dalam aspek penjagaan alam sekitar.
“Mutakhir ini, wujud pelbagai pencemaran dan kerosakan kepada alam sekitar akibat daripada sikap serta kelemahan manusia sendiri. Kita sering kali terlupa bahawa alam sekitar adalah komponen utama yang diperlukan bagi kehidupan yang selesa.
“Maka, saya ingin mengajak setiap lapisan masyarakat tanpa mengira darjat mahupun bangsa dan agama untuk bersatu padu di dalam melestari serta menjaga alam sekitar,” titah Sultan Abdullah pada istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP) kepada 200 penerima sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Istana Negara, hari ini.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar mengiringi keberangkatan Seri Paduka pada majlis yang diadakan di Balairung Seri. Turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Menyifatkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan Ke-15 membawa pengertian besar, sementelahan ia yang pertama buat Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat hadir setelah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 31 Januari lepas, Seri Paduka melahirkan rasa bangga dengan kepesatan Wilayah Persekutuan.
“Saya amat bersyukur melihat komitmen berterusan kerajaan membangunkan Wilayah Persekutuan menerusi strategi pertumbuhan ekonomi yang mampan di samping membela nasib rakyat di Wilayah Persekutuan.
“Semoga Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan saya di bawah pimpinan Memanda Perdana Menteri yang luas pengalaman, akan terus memacu peningkatan taraf sosioekonomi rakyat dan melonjakkan nama Wilayah Persekutuan di pelosok dunia,” titah Sultan Abdullah.
Sultan Abdullah melahirkan rasa bangga dengan sembah makluman kejayaan projek River of Life (ROL) yang diiktiraf sebagai satu daripada World’s Top 10 Waterfront Districts dan projek Taman Tugu, satu inisiatif yang membanggakan dalam memelihara khazanah warisan alam. – BERNAMA










