Berkuasanya penasihat media menteri - Utusan Malaysia

Berkuasanya penasihat media menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI setiausaha akhbar kepada menteri, bunyinya cukup glamor bagi sesetengah orang. Ada juga beranggapan kerjaya ini cukup berkuasa. Ini kerana dia boleh menasihatkan menteri apa yang hendak diperkatakan.

Bab ini kena betulkan sikit: Yang berkuasa bukan setiausaha akhbar tetapi setiausaha politik kepada menteri. Tetapi yang selalu menonjol di hadapan mata wakil media ialah setiausaha akhbar, mungkin itu orang selalu terlupa siapa setiausaha politik.

Kekecohan baru-baru ini membabitkan seorang setiausaha akhbar yang melampiaskan kema­ra­han terhadap agensi berita kerajaan, RTM yang didakwanya ‘ada agenda’ semata-mata tidak menyiarkan ucapan menterinya, menjadi buah mulut ramai.

Komuniti media sendiri hangat membincangkannya dan membandingkan setiausaha akhbar era sekarang dengan yang sebelum ini. Yang dulu, tidak pernah berlaku kejadian sebegini. Tidak pernah RTM dicemuh secara terbuka oleh pegawai menteri. Diulangi: ‘dicemuh secara terbuka.’

Apakah ini realiti zaman sekarang bahawa kebebasan bersuara membolehkan sesiapa sahaja membidas, mengkritik (tanpa tahu kewajaran atau kebenaran) waima sesama anggota organisasi? Wajarkah setia­usaha akhbar bertindak demikian terhadap RTM? Wajarkah RTM dibelasah sedemikian rupa? Ini jawapan yang anda sendiri kena fikirkan.

Yang hendak Merrepak huraikan hari ini ialah peranan penasihat media kepada menteri dan apa yang mungkin sesuai menteri praktiskan terhadap pegawainya.

1Lantik dalam kalangan wartawan

Biasanya, setiausaha akhbar dilantik dalam kalangan wartawan profesional, bukan wartawan Facebook. Tetapi kena tapis ketat-ketatlah. Siasat latar belakang dia, pengalaman kerja, tahap mutu kerjanya dan bukan sekadar faktor dia sokong parti mana. Sentimen politik sebegini hanya menjadi bahan ketawa bila pegawai itu didapati tidak pandai buat kerja, malah sama taraf wartawan Facebook.

2. Luas pengaruh

Secara umumnya, mana-mana organisasi hendak ambil pekerja akan menilai aspek ini. Dia tidak semestinya hanya ‘baik’ dengan big boss tetapi juga persekitaran. Dia hendaklah memiliki contact besar dengan anggota media daripada wartawan biasa hingga pengarang. Ini penting dalam menguruskan penerbitan kenyataan menteri. Dia hendaklah proaktif, bersedia dengan jawapan jika diterjah atau bencana mengejut. Ringkasnya, dia ada strategi media dan bukan sekadar tukang agihkan teks ucapan menteri kepada wartawan.

3Tidak pandai, tidak salah mengaku

Ada orang pandai ber­tutur tetapi lemah menulis. Dan sebaliknya. Tidak apa. Itu bukan keca­catan kekal. Jangan jadi bodoh sombong. Bila dibuat juga benda yang bukan dia mahir, maka berlakulah kejadian menyalahkan RTM itu.

Ia boleh ditampung dengan mendapatkan khidmat orang yang lebih pandai seperti agensi perhubungan awam (PR) atau Unit Komunikasi Korporat kementerian. Mereka ini boleh berunding dengan RTM atau sesiapa sahaja, untuk menyelitkan ucapan menteri. Mesti boleh siar. Gunalah budi bahasa. Bukan Facebook.

4. Hargai UKK

Dalam kebanyakan masa, UKK dihormati dan dihargai anggota media kerana mereka adalah pegawai yang cukup berpengetahuan mengenai selok-belok kementerian dan sudah berkhidmat lama, bukan lapan-sembilan bulan. Biasa­nya, walaupun menteri bertukar, pegawai UKK terus kekal. Jadi janganlah sombong tidak tentu hala kepada pegawai UKK.

5Guna agensi PR

Seandainya ada bajet lebih, disarankan menteri melantik agensi PR untuk membantu setiausaha akhbar menguruskan imej. Agensi PR ini boleh menyediakan strategi media sama ada untuk promosi atau mengawal kerosakan. Walaupun caj mahal, ia tidak jadi masalah berbanding desas-desus mengatakan nama menteri juga dalam senarai rombakan Kabinet.

6Menteri harus 
mesra media

Dunia hari ini, menteri kena cekap serba-serbi media. Kena ada siaran dalam akhbar, dalam talian, Facebook. Kena ada akaun Twitter. Kalau rajin lagi, buka Instagram. Setiap satu ada sasaran audiens. Setiap satu kena layan. Amat berisiko jika menteri melebihkan televisyen berbanding akhbar bercetak. Ini kerana demografi pembaca akhbar bercetak, adalah kelompok yang memiliki kuasa membeli tertentu.

7Jangan konfrontasi

Dalam dunia hari ini, elak­kan konfrontasi dengan pihak media. Anda tidak akan menang selamanya. Mungkin menang bila menteri kemuka saman beratus juta ringgit tetapi kirim salam di angin lalu sahajalah aspirasi mahu mewujudkan kebebasan media di negara ini.

8Pilih kasih

Dulu ada dua kategori media, kata orang. Satu pro-kerajaan dan satu lagi anti-kerajaan. Sekarang, secara tekni­kalnya tiada yang pro atau antikerajaan kerana jika berterusan menyiarkan berita memihak kerajaan, pembaca akan lari. Jadi menteri kena bijak dan elak daripada pilih kasih. Yang menteri tak sayang itu sebenarnya, penawar kepada penyakit lupa rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN