Beri keutamaan kepada skuad negara - Utusan Malaysia

Beri keutamaan kepada skuad negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Kelab bola sepak di negara ini diminta memberi laluan kepada pemain mereka menyertai skuad kebangsaan bagi mengharungi kejohanan di peringkat antarabangsa untuk mengelakkan masalah yang melanda skuad bawah 22 tahun (B-22) terus berulang dalam saingan kelayakan Piala AFC B-23 yang dijadual berlangsung, Mac ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tanpa berselindung meluahkan kekecewaannya terhadap masalah yang melanda skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee apabila ramai pemain yang tidak diberikan pelepasan daripada kelab masing-masing untuk menjalankan tanggungjawab bersama pasukan negara bagi kempen Piala AFF B-22.

Katanya, setiap pasukan harus sedar bahawa keutamaan pemain adalah kepada skuad kebangsaan selain tanggungjawab mereka terhadap pasukan masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya bersimpati dengan situasi jurulatih (Kim Swee) kerana berdepan kesukaran untuk memilih pemain bagi kejohanan itu dan sejujurnya saya sangat kecewa dengan masalah ini. Kalau kelab di Jepun boleh benarkan pemain kita beraksi bersama skuad kebangsaan, kenapa pasukan di Malaysia tidak boleh benarkan? Keutamaan adalah kepada skuad kebangsaan.

“Saya sedar bahawa saya tidak boleh campur tangan dalam hal ini, tetapi, kami boleh berikan saranan kepada pasukan bagi memastikan insiden seperti ini tidak berlaku,” katanya.

Skuad bimbingan Kim Swee beraksi dalam serba kekurangan pada kejohanan di Phnom Penh itu, setelah enam pemain yang dipanggil jurulatih tersebut tidak diberi lampu hijau pasukan masing-masing. Bagaimanapun, nasib berbeza mengiringi Hadi Fayyadh Abdul Razak yang diberi kebenaran kelab divisyen dua Jepun, Fagiano Okayama untuk beraksi dalam Piala AFF B-22.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai sukan karate dan skuasy yang tidak disenaraikan dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris, Syed Saddiq mengakui kecewa dengan keputusan yang telah dibuat oleh penganjur.

“Saya berharap atlet tidak akan berputus asa kerana ada banyak sukan lain yang memakan masa lama sebelum tersenarai ke Sukan Olimpik. Kita akan terus perjuangkan sukan-sukan ini,” ujarnya.

Ketua Jawatankuasa Penganjur Paris 2024, Tony Estanguet, baru-baru ini, mengesahkan bahawa sukan breakdance akan diperkenalkan pada temasya itu, selain akan meneruskan penyertaan sukan papan selaju, pendakian dan luncur air yang sudah berada pada temasya Tokyo 2020.

Syed Saddiq memberitahu, pihaknya menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) akan memperhalusi beberapa perkara melibatkan sukan baharu termasuk breakdance sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik di Paris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×