JOHOR BAHRU 20 FEB. – PENGGUNA air di negeri ini dinasihati untuk menggunakan bekalan air secara berhemah ekoran pengumuman musim kemarau yang mungkin berpanjangan sehingga April depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, langkah penggunaan air dengan berhemah dapat memastikan bekalan air disalurkan tanpa sebarang gangguan.

Menurutnya, saranan itu adalah langkah proaktif yang boleh dilakukan walaupun bekalan air masih berada pada paras normal.
“Kami juga berharap pengguna akan sentiasa memastikan tiada sebarang masalah kebocoran pada paip air di premis milik mereka bagi mengelak pembaziran.
“Antara langkah penjimatan lain yang boleh dilakukan termasuklah mengurangkan aktiviti seperti membasuh kereta pada siang hari, menyiram pokok berlebihan dan membasuh baju hanya apabila muatan penuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pengguna yang mahu mendapatkan maklumat lanjut berhubung bekalan air di kediaman mereka boleh hubungi SAJ Info Center di talian 1-800-88-7474 atau menghantar SMS ke 019-7727474 atau menerusi emel di [email protected].










