JOHOR BAHRU 20 FEB. – SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun mengalami kecederaan di bahagian badan dan muka disyaki didera ibu kandung serta bapa tirinya di sebuah rumah di Pangsapuri Desa Melayu, Taman Bayu Puteri di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum menahan pasangan suami isteri itu pada pukul 1 petang di kediaman mereka.
“Bertindak atas laporan, polis menjalankan siasatan dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dan seorang warga Indonesia yang berusia 38 tahun selain berjaya menyelamatkan mangsa dera itu. Polis turut merampas seutas wayar mikrofon, sebatang rotan dan satu penyangkut baju.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang merupakan pasangan suami isteri mengaku mereka telah mendera kanak-kanak ini sejak dua tahun kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shahurinain, mangsa kini menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini serta dipantau oleh Pegawai Jabatan Sosial hospital terbabit.
Ujarnya, suspek lelaki yang merupakan bekas anggota polis serta isteri meniaga makanan di atas talian tidak mempunyai rekod lampau.










