JOHOR BAHRU 22 Feb. – Selepas dua hari terkandas di surau Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini akibat ditipu kenalan yang kononnya menawarkan pekerjaan di Singapura, atlet paracycling negara, Mohamad Syazwan Roshdi, 22, kini berada di Putrajaya untuk mencari peluang pekerjaan.
Dia dibantu rakan yang juga bekas pelumba trek negara, Mohd. Rizal Tisin bertolak dengan menaiki bas dari sini pagi semalam sebelum tiba di Putrajaya pukul 12 tengah hari.

Menurut Syazwan, dia bersyukur kerana dibantu rakannya itu dan pada masa sama berharap agar diberi peluang pekerjaan di Putrajaya.
“Alhamdulillah, ada rakan yang ingin membantu dan memberitahu terdapat peluang pekerjaan di Putrajaya. Saya tidak memilih bidang pekerjaan. Saya terima sahaja rezeki yang diberikan. Saya berharap ada rezeki saya di sini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Rizal melalui satu status dalam laman facebook miliknya memberitahu dia menemui Mohamad Syazwan selepas ditegur bekas atlet itu di surau CIQ, di sini semalam.
Mohd. Rizal mendakwa, rakannya itu terpaksa tidur di surau dan tidak makan selama dua hari selepas ditipu kenalannya yang kononnya menawarkan pekerjaan di Singapura.
Menurut Mohd. Rizal, ketika tiba di sini, rakan kepada Mohamad Syazwan itu telah meminjam duit sebanyak RM500 dan berjanji akan membayarnya namun rakannya itu gagal dihubungi dan menghilangkan diri.










