JEMPOL 22 Feb. – Seorang pelatih polis bantuan berusia 49 tahun meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, dekat sini semalam.

Mangsa, Mohd. Jani Ripin yang merupakan pelatih Polis Bantuan Siri 1/ 2019 meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Serting Hilir pada pukul 11.05 pagi.
Sumber polis berkata, mangsa terlebih dahulu mengadu kepada jurulatih bertugas dia mengalami sesak nafas semasa berada di Bahagian Pengajian Akademik Pulapol itu.
“Pada sebelah pagi semalam dia hadir latihan kawad, tetapi hanya berada di tepi padang. Dia kemudian mengadu letih dan mohon berehat kepada jurulatih.
“Dia seterusnya dibawa dengan ambulans ke Klinik Kesihatan Serting Hilir selepas mengadu sesak nafas. Pelatih itu disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Serting Hilir,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Sumber polis berkata, Mohd. Jani melaporkan diri sebagai pelatih Polis Bantuan pada 9 Februari lalu dan memaklumkan mempunyai penyakit darah tinggi sert kencing manis semasa menjalani saringan awal kesihatan.
Jelasnya, mangsa pernah mendapatkan rawatan kesihatan sebanyak tiga kali sejak melaporkan diri dan rawatan terakhir pada 19 Februari lalu kerana demam lalu diberikan cuti sakit dua hari.
Sementara itu, isteri mangsa, Norhazizah Bidin, 54, berkata, suaminya adalah pengawal keselamatan di Permodalan Nasional Berhad (PNB) Kuala Lumpur selama 20 tahun sebelum ditawarkan menjadi polis bantuan.
Jenazah Allahyarham yang mempunyai anak berusia antara 10 hingga 20 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Danau Kota, Setapak di Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN ONLINE










