Badminton: Kemenangan sulung acara lelaki dan wanita - Utusan Malaysia

Badminton: Kemenangan sulung acara lelaki dan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Pemain kebangsaan Soong Joo Ven meraih kemenangan sulung acara perseorangan lelaki manakala Soniia Cheah mempertahankan gelaran acara perseorangan wanita pada Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 di Arena Badminton Perak, di sini hari ini.

Joo Ven, yang merupakan pemain pilihan ketiga, menang mudah pada final selepas lawannya Leong Jun Hao menarik diri akibat kecederaan pada set kedua ketika perlawanan berkedudukan 21-13, 7-1.

“Saya sangat gembira dapat menjuarai kejohanan ini tapi saya tidak boleh berpuas hati dengan kemenangan ini dan akan teruskan usaha untuk menjuarai pertandingan di peringkat antarabangsa pula,” kata Joo Ven kepada selepas aksi tersebut.

Dalam pada itu, Jun Hao berkata, keputusan menarik diri diambil selepas mengalami kesakitan di bahagian kaki sejak perlawanan menentang Lim Chong King di peringkat separuh akhir semalam.

“Pada kedudukan 1-7 saya rasa kaki saya sudah tidak boleh bergerak jadi saya ambil keputusan untuk menarik diri sebab saya takut akan bertambah sakit sehingga perlu masa yang lama untuk sembuh,” katanya.

Sementara itu, Soniia gah mempertahankan gelaran selepas mengalahkan pemain pilihan utama Goh Jin Wei 21-10, 21-14 dan menyifatkan ia bukti kepada keupayaan beliau.

“Bagaimanapun menjadi pemain nombor satu negara tidak begitu penting buat saya sebaliknya kami (beliau dan Goh Jin Wei) harus bersama-sama berusaha sebagai satu pasukan,” katanya.

Selain itu, pasangan beregu camouran profesional negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menepati ramalan apabila menundukkan Hoo Pang Ron-Shevon Lai Jemie 17-21, 21-13, 21-19 dalam aksi penuh debaran sepanjang 57 minit perlawanan.

Peng Soon berkata, kemenangan itu sesuatu yang berharga kerana kali terakhir mereka memenangi kejohanan berkenaan adalah lapan tahun lepas.

“Maksudnya walaupun sudah lapan tahun kami masih boleh main lagi,” katanya.

Bagi acara beregu lelaki, gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menewaskan Aaron Chia Teng Fong-Soh Wooi Yik 21-12, 21-19, manakala acara beregu wanita dimenangi oleh Anna Cheong Ching Yik-Lim Chiew Sien yang menewaskan Cheah Yee See-Teoh Mei Xing 23-21, 21-17. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN