Apa kelebihan Kit Siang boleh masuk UKM berbanding saya - Najib - Utusan Malaysia

Apa kelebihan Kit Siang boleh masuk UKM berbanding saya – Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan Kementerian Pendidikan apakah kelebihan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dibenarkan masuk dan menyertai program yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berbanding dirinya.

Najib meluahkan kekecewaan apabila program Sembang Santai Bossku yang sepatutnya diadakan hari ini di universiti tersebut telah ditunda dan beliau melihat tindakan tersebut sebagai usaha membatalkan terus aktiviti tersebut.

“Kita kesal Kit Siang boleh masuk UKM, apa kelebihan Kit Siang berbanding dengan saya? Apa jasa Kit Siang kepada UKM?

“Apa jasa Tun Razak (bekas Perdana Menteri) kepada UKM? Takkan Kit Siang lebih baik daripada saya. Takkan Hishamuddin Rais (aktivis sosial) dapat layanan lebih daripada saya,” katanya di pekarangan Masjid Universiti UKM, Bangi dekat sini hari ini.

Program Sembang Santai Bossku itu dibatalkan dan difahamkan kononnya penganjuran program tersebut tidak mengikut prosedur.

Namun berdasarkan siaran langsung laman Facebook oleh beberapa pihak, didapati kehadiran bekas Perdana Menteri tersebut ke universiti itu tenga hari tadi untuk solat Jumaat tetap mendapat sambutan daripada dalam kalangan mahasiswa UKM.

Kit Siang sebelum ini tidak dihalang untuk menghadiri satu forum bertajuk ‘Ke mana Malaysia’ yang diadakan di UKM pada 11 Disember lalu.

Pada masa sama Najib mempertikaikan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang pada tahun lalu berkobar-kobar sewaktu mahu meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) untuk membolehkan mahasiswa terlibat aktiviti parti politik di dalam kampus, tetapi program yang mahu dihadirinya hari ini dibatalkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN