KUALA LUMPUR 24 Feb. – Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berpendapat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim jangan mengikut nasihat peguam supaya menyaman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau hari ini, Kamarul Zaman berkata, tindakan seumpama itu yang dilakukan pada 20 tahun lalu akhirnya memakan diri dan mendorong kepada pemecatan Presiden PKR itu selaku Timbalan Perdana Menteri.
Tambahnya, jika mengimbas sejarah, dapat dilihat bahawa pemecatan Anwar pada 2 September 1998 adalah bertitik-tolak daripada laporan polis yang dibuat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang pada waktu itu merupakan Setiausaha Sulit Anwar, pada 25 Jun 1998 ke atas penerbit dan penulis buku ‘50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM’.
“Laporan polis yang dibuat ini akhirnya memakan diri apabila berasaskan kepada laporan ini, pihak polis menyiasat dakwaan tersebut, di antaranya dengan mendapatkan akuan berkanun dari seorang rakan Anwar, Datuk Nallakaruppan Solaimalai, pada 25 Ogos 1998.
“Mengambil iktibar daripada pengalaman yang pernah menimpa Anwar, sangat eloklah jika nasihat supaya beliau menyaman Abdul Hadi tidak diikuti,” katanya.
Kamarul Zaman berkata demikian ekoran ada pendedahan peguam Anwar menasihatkan beliau supaya menyaman Abdul Hadi berikutan dakwaan liar kononnya wujud rancangan menjatuhkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui usul undi tidak percaya di Parlimen. – UTUSAN ONLINE










