IPOH 20 Feb. – Seorang anggota bomba cedera setelah tergelincir semasa menuruni tangga ketika operasi memadam kebakaran di sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Dr. Nazrin Shah, di sini hari ini.
Mior Muhammad Fahmi Mior Muhammad, 27, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh itu mengalami kecederaan pada pergelangan kaki kanan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. Subri Hussin berkata, kejadian berlaku ketika Mior Muhammad Fahmi sedang mengangkat perabot seperti meja dan kerusi yang terkumpul di laluan dan menyukarkan operasi bomba untuk memadam kebakaran.
Katanya, keadaan lantai yang basah dan licin menyebabkan anggota bomba terbabit tergelincir semasa sedang menuruni tangga.
“Anggota tersebut merupakan pasukan kedua yang tiba di tempat kejadian. Semasa sedang menuruni tangga, dia telah tergelincir dan menyebabkan pergelangan kaki kanannya terseliuh.
“Anggota itu telah dihantar ke HRPB dan menerima rawatan pesakit luar,” katanya. – UTUSAN ONLINE











