Pelucutan hak penganjuran Sarawak sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia yang sepatutnya berlangsung, Julai ini, ternyata tidak mematahkan semangat anak jati kelahiran negeri itu, Anderson Anak Jamba untuk memburu pingat buat negara pada penampilan pertama.
Sebaliknya perenang berketurunan Iban berusia 31 tahun yang lumpuh kedua-dua kakinya sejak 17 tahun lalu akibat demam, mahu mencatat sejarah menjadi atlet renang para pertama kategori S4 (lumpuh kaki) yang berjaya membawa pulang pingat daripada kejohanan dunia.
Mengakui cemburu dengan pencapaian atlet para olahraga negara seperti Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly yang sudah beberapa kali mencipta kejayaan di peringkat dunia dan Olimpik, Anderson berhasrat mengikut jejak mereka dengan menjadikan tahun 2019 sebagai sasaran untuk berbuat demikian.
“Belum pernah ada seorangpun perenang para S4 berjaya membawa pulang pingat dari kejohanan dunia. Sebelum ini Zul Amirul Sidi Abdullah pernah meraih gangsa dalam kategori S5. Jadi saya memasang impian untuk menjadi orang yang kedua melakukannya di negara ini.
“Itu sebabnya saya berlatih kuat enam hari seminggu pagi dan petang di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kg. Pandan di bawah jurulatih China, Li Dan semata-mata untuk mencapai impian itu.
“Usia semakin tidak memihak kepada saya. Jadi mungkin ini adalah peluang terakhir saya mencipta kejayaan di peringkat dunia dan Sukan Paralimpik 2020,” katanya yang sudahpun melepasi kelayakan minimum bersama empat lagi perenang ke kejohanan dunia, tahun ini.
Anderson yang berkebolehan dalam gaya bebas, kuak dada dan kuak lentang berkata, apa yang perlu dilakukan ketika ini ialah untuk meyakinkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) tentang keupayaannya disenaraikan secara merit berdasarkan catatan masa terbaik.
“Caranya ialah dengan menyertai beberapa Kejohanan Para Siri Dunia yang dijadual berlangsung di Glasgow, Scotland pada April dan di Singapura, Mei ini. Melalui kejohanan itu, IPC akan menentukan siapa yang layak dipilih bertanding pada kejohanan dunia, Julai ini,” katanya.
Selain Anderson, empat lagi perenang yang sudahpun melepasi kelayakan minimum ke kejohanan dunia adalah Mohd. Nor Saiful, James Wong Tien Yu, Jamery Anak Siga dan Julius Jaranding.
Penyelaras sukan renang para Majlis Sukan Negara, Jennifer Yong berkata, dua tahun lalu, Malaysia pernah mempunyai dua wakil pada kejohanan dunia, namun, kedua-duanya gagal membawa pulang sebarang pingat.
“Jadi kali ini, kami berasakan ia adalah masa terbaik untuk Malaysia menghantar paling ramai perenang para ke kejohanan dunia secara merit sekali gus berpeluang mencatat sejarah memenangi lebih banyak pingat,” katanya.
Sehingga kini, IPC masih belum mengumumkan tuan rumah baharu kejohanan dunia bagi menggantikan Sarawak.










