Aminuddin tidak kecil hati terhadap RTM - Utusan Malaysia

Aminuddin tidak kecil hati terhadap RTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 20 Feb. – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak berkecil hati dengan tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak menyiarkan ucapan beliau semasa liputan siaran langsung majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina 2019 di sini Ahad lalu.

Katanya, beliau akur dengan hak agensi peryiaran milik kerajaan itu untuk berbuat demikian.

“Saya tidak tahu ucapan saya tidak disiarkan dan hanya mendengar mengenainya selepas majlis malam itu selesai.

“Saya tidak fikir ia adalah satu isu kerana mungkin program itu telah diatur sedemikian rupa. Terpulang kepada mereka. Tak ada masalah bagi saya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan bahawa RTM cuba mensabotaj Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dengan tidak menyiarkan ucapan menteri itu secara langsung pada malam tersebut.

Berikutan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo telah meminta RTM menyediakan laporan berhubung dakwaan Swee Kuan itu.

Siew Fook dan Aminuddin adalah dua pemimpin yang berucap pada majlis berkenaan.

Ditanya mengenai dakwaan Swee Kuan itu, Aminuddin berkata, terpulang kepada pihak tersebut untuk membuat dakwaan seperti itu.

“Itu adalah komen dia. Yang penting majlis malam itu berlangsung dengan sempurna dan meriah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN