MELIHAT figura tinggi lampai dengan penampilan terkini, mungkin ada beranggapan dia adalah seorang model yang menggayakan pelbagai busana menarik.
Namun, gadis manis kelahiran Alor Setar, Kedah ini bukan seperti disangka, sebaliknya merupakan bakal doktor yang baharu sahaja menamatkan pengajian di sebuah universiti terkemuka luar negara.
Itulah Nur Shahirah Aishah Mahmuzir, 26, yang sememangnya wajar digelar beauty with brain iaitu seorang gadis yang bukan sahaja bijak malah mempunyai nilai tambah tersendiri dengan anugerah kecantikan.
Menurut gadis yang melakar kecemerlangan akademik sepanjang zaman belajarnya, perlu ada kesungguhan dan usaha keras bagi mencapai impian dihajati.
“Tiada yang mustahil dalam hidup ini dan jangan pernah berputus asa. Sekiranya jatuh atau gagal, berehat sekejap dan bangun semula untuk menggapai cita-cita.
“Selain itu, perlu ikhlaskan hati dalam melakukan sesuatu perkara iaitu lakukan sesuatu dengan sepenuh hati, insya-Allah kita mampu berjaya,” katanya.
Tambahnya, tempoh lapan tahun yang dilalui untuk menamatkan pengajian dalam bidang perubatan bukan perkara mudah, sebaliknya perlu dilalui dengan penuh kesabaran.
“Saya belajar di Intec Education College selama dua tahun sebelum meneruskan pengajian ke Royal College of Surgeon di Ireland (RCSI) selama tiga tahun dan akhirnya kembali ke tanah air dan mengakhiri pengajian di Penang Medical College (RCSI-UCD Malaysia Campus) tahun lalu.
“Saya bersyukur meskipun banyak halangan yang perlu dilalui untuk menggenggam segulung ijazah perubatan, namun semuanya berbaloi kerana saya berada di landasan betul untuk mencapai impian itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Aishah memberitahu, antara cabaran yang dihadapi sebagai seorang pelajar jurusan perubatan adalah untuk berkomunikasi dengan pesakit ketika memberikan rawatan di samping perlu mengawal emosi.
“Penguasaan ilmu pengetahuan mengenai perubatan sememangnya sangat penting, namun cara bergaul dengan pesakit turut memainkan peranan untuk menjadi seorang doktor yang baik.
“Selain itu, emosi ketika berhadapan dengan pesakit kronik kadang kala menjentik naluri semula jadi manusia. Saya perlu kawal emosi sedih dan kekal profesional merawat mereka,” katanya.
Aishah kini menunggu penempatan di hospital bagi menjalani latihan industri (housemanship) sebelum bergelar doktor.










