HULU LANGAT 24 Feb. – Calon Pakatan Harapan (PH) telah melawat kira-kira 70 peratus penduduk Semenyih dalam tempoh sembilan hari berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Muhammad Aiman Zainali, 30, menjangkakan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi untuk menyelesaikan misi lawatannya itu.
Beliau juga setakat ini berpuas hati dengan kempen yang dijalankan oleh PH.
“Kita harap mereka (rakyat) dapat menterjemahkan sokongan di kertas undi dengan memilih PH.
“Saya berpuas hati. Sangat-sangat berterima kasih kerana kesemua pemimpin-pemimpin tertinggi PH datang untuk membantu saya pada PRK kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Stesen Teksi Semenyih di sini hari ini.
Kehadiran Muhammad Aiman disambut oleh Presiden Persatuan Pemandu Teksi,Meter dan Kereta Sewa Hulu Langat, Imran Amed Pala.
Ketika ditanya mengenai keluhan pemandu-pemandu teksi di Semenyih yang hilang punca pendapatan berikutan kewujudan kereta sapu, beliau memberitahu, perkara itu akan dibincangkan jika dipilih rakyat untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Itu nanti kita akan bincang kemudian,” ujarnya.
Tambah Muhammad Aiman, beliau akan meneruskan inisiatif bapa mentuanya yang merupakan penyandang DUN Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd. Nor dalam membantu pemandu-pemandu teksi di kawasan itu.
Ditanya mengenai sokongan pengundi India terhadapnya, beliau berkata, kebanyakan pengundi India yang dijumpainya, seratus peratus menyokong PH.-UTUSAN ONLINE











