JAKARTA 16 FEB. – CALON Presiden (Capres) Indonesia nombor 1, Joko Widodo atau Jokowi menegaskan berita bertajuk ‘Ahok Gantikan Ma’ruf Amin?’ yang disiarkan akhbar Indopos adalah tidak benar dan tidak mungkin berlaku.
Malah beliau turut meminta supaya fitnah seumpama itu dihentikan segera.

“Tidak mungkinlah, kita ini baru menuju kepada Pilihan Raya Legislatif (Pileg) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres),Pilpres.
“Jangan diganggu fitnah-fitnah seperti itu,” tegas Jokowi di Istana Merdeka, Jalan Medan Merdeka Utara, Jakarta Pusat, hari ini.
Pasukan Kempen Nasional (TKN) Jokowi – Ma’ruf Amin dalam pada itu mengajukan perkara terbabit kepada Dewan Pers Indonesia dengan alasan, laporan berita tersebut dinilai melanggar kod etika kewartawanan.
Detik News memetik Jokowi sebagai berkata, fitnah yang dilaporkan itu tidak mendidik rakyat Indonesia.
“Sangat tidak mendidik. Ia sangat tidak mendidik,” tegas Jokowi.
Mengulas laporan berita itu, pemimpin redaksi Indopos, Juni Armanto ketika dihubungi sudah memberikan penjelasan berhubung perkara itu dan mendakwa isu yang dilaporkan dalam artikel tersebut bermula dari infografik palsu yang tular dalam media sosial.
Katanya, pihaknya sudah berusaha mendapatkan pengesahan mengenai laporan itu daripada kedua-dua kem calon bertanding iaitu TKN dan Badan Pemenangan Nasional (BPN)Prabowo Subianto-Sandiaga Uno. – AGENSI










