KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan tambahan pecah amanah tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dihadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan tambahan itu, beliau sebagai seorang ejen iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi dengan curangnya telah membuat pembayaran kepada TS Consultancy & Resources sebanyak RM260,000 yang merupakan harta milik yayasan itu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 20 tahun, sebatan dan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi.
Mahkamah menetapkan 28 Februari sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE










