KANGAR 23 Feb. – Selepas menimbulkan pelbagai masalah sehingga menyebabkan Perlis dibatalkan penyertaan dalam Liga Malaysia 2019, akhirnya Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie digantung tugas sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).
Keputusan itu dicapai melalui mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk bola sepak tersebut yang berlangsung semalam.
Serentak dengan itu, Timbalan Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan akan memangku jawatan presiden sehingga tarikh kongres persatuan itu yang berikutnya.
Selain Ahmad Amizal, turut digantung tugas ialah Naib Presiden 2 PFA, Muhamad Syukur Hashim dan Setiausaha Agung PFA, Adib Rabani Muaz Abdul Malik.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan PFA, keputusan itu dibuat setelah merujuk kepada peruntukan statut PFA dalam artikel 36,37 dan 38.
Selain itu, Ahmad Amizal juga dikatakan telah melanggar perjanjian antara Kelab Bola Sepak Qhaleefa dengan PFA sebagaimana yang telah dipersetujui bersama sebelum ini.
“Oleh itu, kesemua individu tersebut adalah dilarang menjalankan sebarang tugasan sebagaimana tempoh yang ditetapkan,” katanya kenyataan itu di sini, hari ini.- UTUSAN ONLINE











