KANGAR 12 Feb. – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar tidak bersetuju bahawa pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) menepati maqasid syariah.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berpendirian bahawa pemasangan AES sejak zaman kerajaan terdahulu hingga sekarang adalah tidak wajar.
“Pendirian saya tidak pernah berubah hingga sekarang. Saya fikir apa paling penting di pihak kerajaan, kalau hendak laksanakan sistem berkenaan, laksanakan dengan jumlah sedia ada, bukan menambah lagi bilangan kamera tersebut.
“Saya lihat paling penting mendidik masyarakat mengenai disiplin di jalan raya. Selain itu, saya fikir kokurikulum di sekolah memandu juga perlu berubah. Kita kena akui, punca kemalangan kebanyakannya disebabkan disiplin pengguna jalan raya itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Karnival Pekerjaan, Kemahiran dan Keusahawanan Insan Istimewa di Kampung Mengkuang Layu, Utan Aji, di sini hari ini.
Sambil mengulangi pendirian tidak bersetuju dengan pemasangan AES, Mahfuz berkata, dua hukuman dalam satu kesalahan yang ditetapkan melalui sistem tersebut juga dilihat tidak wajar.
Katanya, beliau telah memberi mesej kepada Anthony Loke Siew Fook mengenai perkara tersebut dan yakin Menteri Pengangkutan itu memahaminya.
“Saya sudah beri mesej kepada dia dan dia tahu mengenai pendirian saya (membantah AES) sejak awal dahulu. Dia juga bersama-sama dengan saya dahulu menentang AES,” katanya.











