KEMAMAN 20 Feb. – Kira-kira 500 ahli gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini mendesak tiga pemilik akaun Facebook yang menghina Nabi Muhammad dan agama Islam dikenakan hukuman tegas.
Jurucakap gabungan itu, Zulkifli Mamat berkata, tindakan tersebut wajar atas penghinaan yang terlalu biadap oleh Sarkar Tanesan, Foo Sing Wai dan Michelle Nathaniel yang mencetuskan kemarahan umat Islam.
“Umat Islam di Kemaman bersatu hati membuat laporan polis bagi menunjukkan solidariti untuk mempertahankan Islam dan institusinya daripada ancaman dan penghinaan luar.
“Kami bukan bersikap rasis tetapi tindakan ini adalah mempertahankan agama Islam daripada penghinaan yang boleh membawa kesan yang lebih buruk pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Chukai, di sini malam tadi.
Laporan polis kira-kira pukul 10 malam itu dibuat oleh Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Pemuda Pas Kawasan Kemaman, Ahmad Dasuki Mohd. Tahir
NGO yang terlibat adalah Persatuan Usrah Tarbawi Kemaman, Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda Pas Kawasan Kemaman, Pertubuhan Khalifah Semalaysia, Pertubuhan Cakna Anak Yatim Kemaman (Cakna), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Pertubuhan Persaudaraan Seni Silat Melayu Pantai Timur (Persima).
Semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 68 tahun bagi membantu siasatan kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah menerusi laman media sosial Facebook.
Menurut Zulkifli, laporan polis terhadap Michelle yang dibuat mereka difahamkan adalah yang pertama di seluruh negara setakat ini.
Katanya, laporan polis itu juga sebagai usaha menghalang kes-kes penghinaan dilakukan secara berterusan oleh individu yang tidak prihatin tentang Islam. – UTUSAN ONLINE










