4 import perkuat UiTM Lions - Utusan Malaysia

4 import perkuat UiTM Lions

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 8 Feb. – Empat pemain import termasuk tonggak Fiji serta kehadiran kapten negara, Syahir Asraf Rosli menjadi faktor penting Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lions meletakkan sasaran mara ke perlawanan akhir Liga Ragbi Malaysia (MRL) 2019 yang bermula 16 Februari ini.

Pertahanan pasukan kedua Fiji, Iowane Teba masih segar dengan pengalaman antarabangsa menentang New Zealand dalam siri ujian November lalu akan diiringi rakan senegara, Are Monoka, Lepani Tuivanuavou dan Peceli Davobalavu.

Syahir pula antara tonggak Malaysia yang menyertai Divisyen Perdana Kejohanan Asia sejak 2018, dan dia memilih menyertai UiTM Lions musim ini selepas bersama Cobra yang menjuarai liga kelab kebangsaan ini pada 2009, 2011 dan 2012.

Skuad bimbingan Zamri Abd. Kahar itu turut diperkuatkan flanker negara, Danial Noor Hamidi manakala selebihnya iaitu 21 daripada 30 pemain mereka atau 70 peratusnya ialah kalangan mahasiswa UiTM dengan diketuai Shah Izzat Shah Rudin.

“Sasaran (memasuki final) bukan baharu buat UiTM Lions yang pernah bergelar naib juara 2013 selain meraih tempat keempat MRL dua tahun lalu,” kata Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar UiTM, Prof. Datuk Abdullah Mohammad Said pada majlis pengenalan pasukan di Kompleks Sukan UiTM di sini hari ini.

Skuad musim ini kata Zamri, begitu teruja menantikan MRL 2019 selepas tidak dilangsungkan tahun lalu dengan aksi sulung Kumpulan A Divisyen Perdana mereka ialah menentang Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Tsunami di Serdang.

“Kami ada kelebihan dalam kumpulan ini kerana kehadiran maksimum pemain import berbanding SSTMI Tsunami dan Serdang Angels. Kami berpengalaman menentang kedua-dua lawan ini tetapi mengenai Keris Conlay, mungkin pemainnya ramai muka baharu.

“Persediaan UiTM Lions dibuat sejak November lalu jadi saya yakin kami mampu capai sasaran final dan cuba raih gelaran sulung liga musim ini,” katanya yang turut akan menguji anak-anak buahnya dalam satu perlawanan persahabatan menentang KL Tiger di UiTM, esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN