3 warga Rohingya diberkas culik wanita Indonesia - Utusan Malaysia

3 warga Rohingya diberkas culik wanita Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 23 Feb. – Tiga orang warga Rohingya, masing-masing dua lelaki dan seorang wanita diberkas polis bagi membantu siasatan kes culik membabitkan seorang wanita Indonesia di sebuah rumah di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, ketiga-tiga suspek berusia 28 hingga 36 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di daerah itu, sehari selepas kejadian terbabit.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa dipercayai dilarikan tiga lelaki ketika berada di rumah sewanya, sebelum suami mangsa yang juga warga Myanmar membuat laporan polis.

“Berdasarkan risikan, suspek pertama iaitu lelaki Rohingya berjaya ditahan di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Kuala Ketil sebelum membawa kepada penemuan mangsa di sebuah rumah di Kampung Pantai Chicar, dekat sini bersama-sama seorang lagi suspek wanita.

“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek itu membawa pula kepada penahanan seorang lagi lelaki Rohingya yang dipercayai turut terlibat dalam kes culik berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mior Faridalatrash berkata, mangsa berada dalam keadaan baik ketika diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

Kata beliau, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Nokia dan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Tambahnya, kesemua suspek kini direman Sehingga 2 Mac depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan dengan salah.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan juga dikenakan denda,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN