KEPALA BATAS 23 Feb. – Seramai tiga mat rempit yang leka berlumba haram dan melakukan aksi berbahaya di jalan Lingkaran Luar Butterworth di sini tengah malam tadi ditahan polis.
Ketiga-tiga lelaki berumur antara 21 hingga 25 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu mencegah lumba haram yang dijalankan sekumpulan anggota dan pegawai polis dari ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) bermula pukul 10 malam hingga 6 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah SPU, Noorzainy Mohd. Noor, ketiga-tiga suspek masing-masing bekerja sebagai pendawai elektrik, pekerja kilang dan pekerja ladang sawit.
Katanya, mereka ditahan atas kesalahan melakukan aksi menunduk badan (zig zag) dan meniarap di atas motosikal yang berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Kesemua suspek telah menjalani saringan awal ujian air kencing namun negatif dan direman selama dua hari untuk siasatan lanjut.
“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Angka Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noorzainy menyeru ibu bapa menitikberatkan pengawasan anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat tersebut kerana perbuatan berlumba haram akan menjejaskan masa depan generask muda.
Kata beliau, pihaknya akan terus menggiatkan operasi mencegah lumba haram yang bukan sahaja dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya malah membantu mengurangkan risiko kematian membabitkan kemalangan jalan raya.
“Oleh itu, sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai kegiatan tidak sihat atau maklumat mengenai jenayah-jenayah lain, orang ramai boleh menyalurkannya kepada pihak trafik atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











