20 warga asing leka bekerja, membeli-belah ditahan - Utusan Malaysia

20 warga asing leka bekerja, membeli-belah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seramai 20 warga asing yang leka bekerja dan membeli-belah di beberapa premis perniagaan termasuk dua pasar raya sekitar Sungai Petani dekat sini semalam terkejut apabila ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah.

Dalam operasi Ops Bersepadu yang bermula pukul 11.30 pagi hingga 8.45 malam itu, seramai 149 warga asing pelbagai warganegara diperiksa oleh 17 penguat kuasa imigresen.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggotanya melakukan operasi di premis perniagaan sekitar Sungai Petani.

“Kita memeriksa seramai 149 warga asing dan daripada jumlah itu, seramai 20 orang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, warga asing yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki Myanmar, masing-masing tiga lelaki Bangladesh, Pakistan dan India, seorang lelaki dan dua wanita Indonesia serta seorang lelaki Nepal berusia antara 20 hingga 52 tahun.

“Siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tinggal lebih masa.

“Mereka juga didapati melakukan kesalahan di bawah Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar atau gagal mematuhi syarat-syarat pas atau permit,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua mereka ditahan di lokap imigresen di bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Imigresen Belantik, Sik dekat sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN