SUNGAI PETANI 21 Feb. – Sebanyak 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini berhimpun di sini semalam, bagi membantah penyiaran iklan tawaran biasiswa yang didakwa bersifat perkauman oleh Hospital Pantai, baru-baru ini.
Meskipun pihak terlibat telah memohon maaf sebaik sahaja iklan itu tular di laman-laman sosial semalam, namun mereka mendesak agar hospital berkenaan tetap dikenakan tindakan supaya menjadi pengajaran kepada semua masyarakat.
Presiden Persatuan Peniaga Harapan Malaysia, Zulkifly Mohamad berkata, pihak Kementerian Kesihatan wajar mengambil tindakan terhadap hospital itu kerana jika dibiarkan akan memberi kesan buruk kepada perpaduan kaum di negara ini.
“Jika perkara seperti ini dibiarkan (tidak diambil tindakan) dikhuatiri boleh memberi kesan buruk terhadap perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.
“Syarikat-syarikat besar yang ada di negara ini, sepatutnya sedia maklum dan mengikut batas sempadan yang berpandukan kepada prinsip Rukun Negara,” katanya semasa sidang akhbar bagi membantah penyiaran iklan tawaran biasiswa oleh Hospital Pantai di sini, semalam.
Wakil pemimpin NGO lain yang turut serta ialah Pertubuhan Kebajikan AL AMIN; Persatuan Komuniti Bandar Sungai Petani; Pertubuhan Perpaduan Setia Sejagat Malaysia; Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Sungai Petani; Briged Bakti Malaysia (BBM) Kedah; Perdasama Kedah; Persatuan Sayang Sungai Petani; Pertubuhan Komuniti Prihatin Kedah (Sepakat) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Parlimen Sungai Petani.
Pengerusi Sepakat, Munawir Ridzwan juga bersependapat bahawa pihak terlibat wajar dikenakan tindakan tegas bagi memberi pengajaran kepada semua pihak agar berhati-hati dalam isu membabitkan agama dan kaum.
Semalam, Hospital Pantai Sungai Petani memohon maaf berhubung penyiaran iklan tawaran biasiswa yang didakwa bersifat perkauman baru-baru ini dan memberi jaminan perkara itu tidak akan berulang lagi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tio Bee Chan berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan pada iklan yang dikeluarkan hospital swasta tersebut pada 8 Februari lalu. – UTUSAN ONLINE










