Wujudkan sekolah Melayu 100 peratus - Utusan Malaysia

Wujudkan sekolah Melayu 100 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
GAGASAN Tiga (G3) menuntut agar kerajaan mewujudkan semula sekolah Melayu – sama ada namanya Sekolah Jenis Kebangsaan Melayu (SJKM) atau Sekolah Kebangsaan Melayu (SKM) yang mana para guru serta pelajarnya adalah 100 peratus Melayu.

Tuntutan ini dibuat sejajar dengan perkembangan semasa apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja kelihatan bimbang untuk menutup Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sebaliknya memberi lebih peruntukan kepada mereka.

Tuntutan ini bagi membolehkan pelajar Melayu mendapat keadilan sewajarnya dalam aspek pendidikan negara kerana sejak berlakunya pertukaran kerajaan pada 10 Mei lalu, sekolah kebangsaan yang rata-ratanya dihadiri pelajar Melayu dan sebahagian kecil pelajar Cina, India dan kaum lain seolah-olah telah ‘dianaktirikan’.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebagai contoh, walaupun sekolah kebangsaan mendapat RM250 juta (sekitar 9,000 sekolah) berbanding RM50 juta yang dinikmati oleh SJKC (1,298 sekolah) dan SJKT (532 sekolah), namun bilangan sekolah antara ketiga-tiga jenis sekolah ini adalah jauh berbeza.

Ini bermakna setiap sekolah kebangsaan yang rata-ratanya pelajar Melayu hanya mendapat sekitar RM27,778 bagi setiap sekolah tetapi SJKC mendapat RM38,521 bagi setiap sekolah dan SJKT mendapat RM93,985 bagi setiap sekolah.

Ini belum termasuk sekolah persendirian Cina yang mendapat RM12 juta walaupun hanya memiliki 60 sekolah sahaja dengan setiap sekolah mendapat sekitar RM200,000.

Kerajaan PH telah memberi jaminan untuk tetap mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), justeru, pelaksanaan sekolah mengikut kaum ini akan memberi keadilan buat pelajar berbangsa Cina yang kini belajar di sekolah kebangsaan.

G3 bukan pertubuhan rasis, dengan sikap dan pendekatan kerajaan PH yang terus mengangkat martabat dengan memberi peruntukan tambahan untuk SJKC dan SJKT ini, kita tidak dapat mengelak soal memupuk perpaduan di peringkat sekolah.

Jangan berbicara mengenai soal perpaduan di sekolah jika kerajaan hari ini mahu ‘membalas budi’ para pengundinya dengan cara memberi lebih banyak peruntukan pendidikan kepada masyarakat Cina, India tetapi anak-anak Melayu bagaimana pula kedudukannya? Adakah dianaktirikan?

AMRAN AHMAD NOR

Timbalan Pengerusi G3


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×