DEVON, Britain – Seorang wanita menyuarakan hasrat untuk berkahwin dengan sehelai selimut selepas mendakwa ia adalah hubungan yang paling intim dan boleh dipercayai.
Pascale Sellick, 49, turut meminta bantuan perancang perkahwinan, Anna FitzGerald daripada WooHoo Art Events bagi memastikan majlis perkahwinan itu diadakan secara mewah dan sempurna.
Majlis perkahwinan itu akan diadakan di ruang terbuka Rougemont Garden dekat bandar Exeter di sini disusuli dengan satu parti lain di kafe The Glorious Art House di Jalan Fore pada 10 Februari ini.
Sellick akan memakai baju tidur dan berselipar pada hari perkahwinannya. Dia turut mengedar kad jemputan secara terbuka kepada sesiapa yang mahu meraikan hari tersebut.
Tetamu yang hadir perlu memakai baju tidur dan selipar serta dibenarkan membawa patung beruang atau botol air panas jika cuaca sejuk. – Agensi










