KUALA NERUS 3 Jan. – Angin kencang akibat tempias fenomena ribut tropika Pabuk hari ini menyebabkan sebuah warung di Kawasan Perindustrian Gong Badak di sini rosak teruk.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu.
Pemiliknya, Embak Yusof, 74, berkata, keseluruhan struktur warungnya tercabut dan diterbangkan angin sejauh hampir 10 meter selepas dibadai angin selama 10 minit.
Katanya, kejadian berlaku sejurus selepas dia selesai memasak lauk-pauk hidangan tengah hari difahamkan ketika itu terdapat 15 pelanggan sedang menjamu selera di samping empat pekerja.
“Angin kencang itu berlaku tidak lama cuma dalam 10 minit sahaja, mula-mula tiang terangkat selepas itu semua tiang lain tercabut dan diterbangkan angin.
“Pelanggan agak ramai ketika itu dan mereka terpinga-pinga, mujur tiada siapa yang cedera,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Embak, dia mengalami kerugian hampir RM15,000 akibat kejadian yang pertama kali dialaminya sejak 30 tahun berniaga di situ.
“Sebenarnya struktur tiang dan bumbung warung ini baru sahaja dipasang tiga bulan lalu dengan belanja RM7,000.
“Kalau diikutkan mungkin hampir RM15,000 rugi sebab 90 peratus kedai saya rosak,” katanya. – UTUSAN ONLINE










