LIPIS 20 Jan. – Tanpa bantuan yang signifikan dan ditambah kejatuhan harga komoditi menyebabkan kehidupan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan majoriti peneroka di Felda Sungai Koyan di sini semakin terbeban.

Pengerusi Tetap Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) cawangan Felda Sungai Koyan, Ismail Ali berkata, justeru itu beliau berharap kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) dapat melakukan sesuatu yang bermakna bagi menjaga kebajikan golongan veteran.
Katanya, kehadiran Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu baru-baru ini yang mendakwa veteran ATM sentiasa terbela merupakan satu pembohongan kerana mereka berasa terpinggir.
“Dia cakap itu memang pusing-pusing, Mat Indera pun dia kata pejuang, kalau duduk pentas dengan komunis memang cakap berpusing-pusing,” katanya.
Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein dalam perjumpaan bersama bekas veteran ATM Felda Sungai Koyan di sini baru-baru ini melahirkan keresahan terhadap masa depan golongan veteran ATM yang seolah-olah dipinggirkan tanpa pembelaan sewajarnya oleh kerajaan PH.
Katanya, tidak ada apa-apa yang signifikan dilakukan kerajaan PH dalam membantu golongan veteran selepas sembilan bulan memerintah. – UTUSAN ONLINE









