[VIDEO] Tengku Hassanal mampu galas tugas - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tengku Hassanal mampu galas tugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN 22 Jan. – Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang akan dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang baharu bagi menggantikan ayahandanya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang diangkat sebagai Sultan Pahang Keenam diyakini mampu menggalas tugas berkenaan.

Istiadat itu diadakan serentak dengan pemasyhuran bondanya, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Tengku Ampuan Pahang di Istana Abu Bakar di sini pada 29 Januari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda yakin putera sulung baginda itu akan menjadi pemimpin yang baik bukan sahaja kepada nege­ri ini malah rakyat keseluruhannya.

“Saya percaya semua keluarga saya dan rakyat berharap Tengku Hassanal Ibrahim akan mempamerkan watak yang baik dan menjadi seorang pemimpin kepada rakyat dan negeri ini,” titah ba­ginda selepas mempengerusikan mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri di bangunan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda turut memaklumkan berhubung pelantikan Tunku Azizah sebagai Tengku Ampuan Pahang yang akan dimasyhurkan pada hari sama bersama Tengku Hassanal Ibrahim.

Al-Sultan Abdullah bertitah, Tengku Hassanal Ibrahim, 23, yang kini melanjutkan pengajian di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom akan pulang ke tanah air sehari sebelum istiadat pemasyhuran berkenaan.

“Selepas selesai istiadat pemasyhuran, Tengku Hassanal akan kembali ke United Kingdom untuk meneruskan pengajiannya sehingga hujung tahun ini.

“Jawatan Tengku Panglima Besar akan dikosongkan dahulu sementara saya mencari calon sesuai,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN