PUTRAJAYA 15 Jan.- Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada pukul 2.55 petang ini.
Abdul Azeez tiba dengan menaiki kereta Proton Perdana berwarna merah. Beliau dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM namun, tidak dapat dipastikan berkaitan kes apa.
Sumber ketika dihubungi enggan memberi maklimat lanjut mengenai kehadiran Abdul Azeez dan hanya memaklumkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh SPRM.
“Apa yang boleh saya maklumkan ialah tunggu kenyataan akhbar SPRM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Abdul Azeez yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) pernah ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah daripada syarikat kontraktor bagi projek melibatkan TH.
Untuk kes itu, Abdul Azeez disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).-UTUSAN ONLINE










