KOTA BHARU 23 Jan. – Kerajaan Pas Kelantan akan mengadakan sambutan Hari Murabbi Ummah pada 14 hingga 16 Februari depan serta mencetus kesedaran rakyat mengenai tanggungjawab agama masing-masing dalam pembentukan keluarga, komuniti dan negara.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, program itu juga diadakan bertujuan mengambil semangat perjuangan dan mengembalikan nostalgia bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah digelar Murabbi Ummah.
Kata beliau, sempena program itu, pendakwah terkenal dari Sumatera, Indonesia iaitu Ustaz Abdul Somad Batubara dijadual menyampaikan ceramah dan pidato di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada malam kemuncak iaitu pada 15 Februari.
“Kita mahu rakyat mengambil semangat perjuangan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam menjalankan tanggungjawab agama masing-masing.
“Ustaz Abdul Somad dijemput bukan kerana beliau pendakwah terkemuka semata-mata, tetapi kerana beliau cukup dekat dengan Kelantan serta Allahyarham,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Amar, antara aktiviti lain sepanjang tiga hari program berlangsung ialah simposium wanita, ekspo kerajaan negeri dan agensi, funtastic 3 (Funride, Funrun dan Funwalk) serta konsert sejahtera oleh KB Buskers.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai di sekitar pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV bagi memeriahkan sambutan Hari Murabbi Ummah tersebut. – UTUSAN ONLINE










